You Are Reading

0

Pengurusan Ternakan

Cikgu ROG Jumaat, 13 Ogos 2010


PEMBUATAN SILAJ

Silaj (rumput peram) ialah bahan makanan ternakan hasil daripada pemeraman foder basah atau bahan sampingan pertanian yang disimpan ditempat yang kedap udara. Silaj biasanya digunakan untuk makanan ternakan ruminan.silaj mempunyai kelembapan yang agak tinggi iaitu di antara 35 % hingga 75 %.


Tanaman yang biasanya dibuat silaj ialah jagung, sekoi dan rumput-rumput seperti rumput gajah, rumput kuda, rumput pangola dan rumput para. Silaj sebagai salah satu sumber bekalan makanan ternakan berkualiti mempunyai kelebihan berbanding dengan rumput segar dan hay kerana silaj dapat dikeluarkan sepanjang masa, proses pengeluarannya tidak bergantung kepada keadaan cuaca.Tujuan utama pengeluaran silaj adalah untuk menyimpan foder atau bahan makanan ternakan tanpa mengurangkan mutu pemakanan tersebut.Silo (bekas simpanan silaj) terdiri daripada berbagai bentuk seperti bunker, stack, tower, tong plastik dan lain-lain. Faktor yang penting ialah bekas yang digunakan mesti dalam keadaan kedap udara.


MEMBUAT SILAJ

Prinsip utama dalam membuat silaj ialah memastikan keadaan yang kedap udara dan kandungan karbohidrat larut air yang mencukupi. Keadaan kedap udara diperolehi dengan memadatkan bahan tanaman dengan segera bagi mengelakkan berlakunya proses pereputan bahan hijau dan separa hijau yang memerlukan udara. Ketika pemeraman itu ialah karbohidrat dalam bahan yang diperam bertukar menjadi asid laktik atau asetik. Asid-asid ini akan merendahkan pH yang menyebabkan proses biokimia dalam bahan-bahan yang diperam terhenti.

Foder yang mempunyai bahan kering lebih daripada 35 % akan menyebabkan keadaan silaj menjadi kurang mampat dan ini akan menggalakkan pertumbuhan kulat. Bagi foder yang terlalu lembap (kurang 25% bahan kering) pula akan menghasilkan silaj yang masam, disamping kehilangan air dan nutrien yang banyak. Keperluan air ialah 65 – 75 % (25 – 35% bahan kering). Masa yang sesuai untuk mendapatkan kandungan air pada peratus tertentu bergantung kepada jenis tanaman.


PEMERAMAN SILAJ

Silaj boleh diperam di dalam silo atau tanpa silo. Silo merupakan struktur kedap udara atau separa kedap udara yang digunakan untuk memeram silaj.Faktor utama kerosakan silaj adalah disebabkan kehadiran udara di dalam silo. Udara menyebabkan bahan silaj rosak akibat tindakan bakteria aerobik. Bila kerosakan berlaku, silaj tersebut tidak boleh lagi digunakan sebagai makanan ternakan kerana tercemar oleh kulat, baunya tidak menyenangkan dan mendatangkan mudarat kepada ternakan.

Kualiti silaj dapat diukur berdasarkan kepada beberapa parameter. Silaj dianggap rosak bila warna menjadi kehitaman serta berbau tengik. Nilai pH yang rendah menunjukkan tahap fermentasi asid laktid dalam silaj yang baik. Nilai pH antara 3.8 hingga 4.2 adalah silaj yang berkualiti baik manakala pH melebihi 4.5 dianggap kualiti kurang baik. Nilai pH melebihi 5 adalah dianggap rosak.

Sehingga kini teknik-teknik penghasilan silaj dengan menggunakan tower, stack dan bunker silo tidak sesuai dipraktikkan di negara ini. Jenis-jenis silo tersebut menghasilkan peratusan silaj rosak yang tinggi. Masalah utama yang dihadapi ialah cara pemampatan serta system penutupan silo yang tidak sempurna yang menyebabkan keadaan aerobic. Disamping itu jenis silo yang digunakan ini, tidak boleh dipindahkan dari satu tempat ke tempat yang lain.

Bagi mengelakkan udara terperangkap di dalam silo, bahan silaj mesti dipadatkan semasa diisi ke dalam silo. Bila bahan diisi dengan padat, udara terperangkap berkurangan. Semakin kurang udara terperangkap, semakin baik kualiti silaj yang akan dihasilkan.


KAEDAH MEMBUAT SILAJ

Foder untuk silaj hendaklah dipotong pendek di antara 3 – 15 cm supaya mudah dipadatkan. Foder di dalam silo hendaklah dipadatkan dengan secepat mungkin dalam masa dua hari selepas dipotong bagi menghindarkan udara daripada terperangkap. Keadaan ini mengurangkan pernafasan sel dan aktiviti enzim. Foder yang telah dipadatkan hendaklah diperam selama sebulan bagi menghasilkan silaj yang baik. Silaj yang baik boleh disimpan bertahun-tahun lamanya jika tidak diganggu.

Bahan silaj yang mengandungi kurang karbohidrat perlu ditambah dengan asid bukan organik (sulfuric, hidroklorik, fosforik) atau boleh juga menggunakan asid organik (formic, propionik) tetapi bahan-bahan tersebut sangat mahal. Untuk mengurangkan kos pengeluaran silaj, ianya boleh dicampur dengan jenis-jenis karbohidrat yang boleh di dapati dengan lebih murah seperti molas dan bijirin.

Semasa proses pemeraman perubahan bahan kepada produk tertentu dalam silaj akan berlaku. Secara am, karbohidrat dalam bahan hijau/segar yang diperam ditukarkan menjadi asid laktik atau asetik. Proses penukaran dilakukan oleh bakteria anaerobik dengan bantuan haba yang dihasilkan oleh sel tanaman yang masih hidup. Asid-asid yang dikeluarkan, terutamanya asid laktik akan merendahkan pH dan ini menyebabkan proses biokimia yang terjadi pada bahan silaj terhenti. Dengan ini bahan yang diperam akan dapat disimpan dengan baik dan kualiti pemakanannya dapat dikekalkan.


SILAJ RUMPUT NAPIER

Bahan-bahan

1. Rumput napier 160 batang - 80kg ( 1 tong drum)
2. Molasses - 800 gram
3. Garam - 800 gram
4. Urea – 400 gram
5. Air – 3.2 kg
6. Additif - EM atau Laktos atau EIMO ~ 1 liter (setelah di campur air – cth:-100ml laktos, 900ml air).


Kadar peratusan

1. Molasses – 1%
2. Garam – 1%
3. Urea – 0.5%
4. Air – 4%
5. Additif – EM atau Laktos atau EIMO – 1%.


Cara- cara

1. Cincang/mesin rumput napier.
2. Masukkan dan mampatkan ke dalam bekas kedap udara.
3. Siram dengan larutan molasses/garam/urea/air/laktos.
4. Tutup rapat (kedap udara).
5. Peram 21 hari

0 comments:

Catat Ulasan